Halaman

19 September 2011

Dua kedai T’Shoppe dipindahkan, bukan ditutup

Oleh FAUZI MOHD

Dua daripada 18 rangkaian kedai serbenaka 24 jam, T'Shoppe telah dipindahkan ke lokasi yang lebih strategik dan berdaya saing, bukannya ditutup seperti yang didakwa segelintir pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Azmi Razik berkata, perpindahan lokasi itu bertujuan untuk menyelamatkan dua kedai berkenaan yang berdepan kemungkinan 'gulung tikar' akibat kerugian.

Menurutnya, aspek lokasi yang kurang strategik serta faktor keselamatan menjadi pertimbangan pihak YPU untuk memindahkan T’Shoppe di Pantai Kelulut, Marang ke Wakaf Tapai, Marang.

“Manakala T’Shoppe di Gong Kapas dipindahkan ke Pengadang Baru kerana pemilik premis menaikkan sewa sehingga RM8,300 sebulan,” katanya di sini baru-baru ini.

T' Shoppe dikelolakan anak syarikat YPU iaitu Cakna Sdn. Bhd. yang memasarkan hampir 200 jenis produk tempatan seperti minyak urut berasaskan herba, cuka nipah, keropok lekor dan jus roselle melibatkan 95 usahawan serta syarikat.

Tambah Azmi, perpindahan itu tidak memberi kesan kepada premis lain jenis itu yang terus menampakkan daya maju dan merangsang lagi usaha meningkatkan jumlahnya.

“Itu tidak benar, kerana ada di antara pemilik cawangan T'Shoppe mampu memperoleh nilai jualan sebanyak RM4,000 hingga RM5,000 sehari.

“Kenyataan itu sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak sebelum ini bahawa banyak kedai terbabit gulung tikar,” katanya.

Selain mempunyai cawangan di Bandar Melaka dan Sungai Petani, Kedah katanya, T'Shoppe bakal membuka cawangan seterusnya di kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak, selepas kejayaan operasinya di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah.