Halaman

14 September 2011

Homestay Telok Ketapang wakili peringkat kebangsaan

Oleh: Amirullah Othman

Homestay Teluk Ketapang telah dipilih untuk bertanding di peringkat kebangsaan sempena Anugerah Ilham Desa pada 29 September ini.



Pengerusinya, Encik Md Azmi Abd Aziz, berkata sebanyak lima buah kampung dari seluruh negara telah dipilih bagi menyertai pertandingan tersebut.

Lima buah kampung itu dari Sarawak (projek manik), Sabah (projek ikan bubu laut), Kedah (projek ladang getah), Negeri Sembilan (projek baja organik) dan Teluk Ketapang (projek homestay).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata inap desa atau ‘homestay’ di Terengganu khususnya di Teluk Ketapang menghadapi masalah untuk menarik minat pelancong luar terutama Singapura.

Menurutnya, halangan tersebut disebabkan homestaydi Pantai Barat yang lebih dikenali, di samping tempoh perjalanan yang lebih dekat berbanding di Pantai Timur.

“Halangan kita adalah homestay Pantai Barat kerana rakyat Singapura yang mahu datang ke sini mengambil masa selama 12 jam sedangkan perjalanan di Pantai Barat hanya tiga jam,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Hari Raya bersama Homestay dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pelancongan di Homestay Teluk Ketapang, semalam.

Majlis tersebut yang dihadiri 1,500 jemputan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.