Halaman

25 September 2011

Ibu bapa perlu didik anak di awal usia

Oleh: Suriati Ali



Pembangunan modal insan di peringkat awal usia mampu mewujudkan warganegara yang memiliki jati diri kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud, berkata kanak-kanak merupakan aset paling berharga bagi sesebuah negara di bagi menyuntik nilai tambah, ditingkatkan nilai inteleknya serta diperkaya modal budayanya.



Katanya, dia yakin nilai-nilai murni merupakan elemen penting dalam sahsiah hidup seseorang individu itu. Sikap itu bukan sahaja berjaya melahirkan insan berkebolehan malah mempunyai naluri berpendirian teguh serta berani menghadapi cabaran.

”Konsep kemenangan dan kekalahan yang terhasil daripada penyertaan oleh peserta dalam setiap cara bukan sahaja melatih setiap kanak-kanak agar cekal menghadapi rintangan hidup namun memupuk semangat hormat-menghormati serta memantapkan perkembangan sosio emosinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Potensi Kanak-kanak Tabika Kemas di Sekolah Menengah Seri Nilam, Kuala Terengganu, semalam (24 September).

Pelbagai jenis sukan termasuk futsal, bola jaring dan galah panjang dipertandingankan sempena program yang bertujuan menghimpunkan serta menyerlahkan bakat serta potensi kanak-kanak.



To’ Puan Norliza turut memberitahu, Kemas memberi penekanan khusus kepada pendidikan awal kanak-kanak.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan semata-mata untuk memperkasakan pendidikan pra sekolah baik dari segi silibus pengajaran dan pembelajaran, aspek fizikal, guru berkemahiran dan lain-lain lagi.

Oleh itu, seharusnya tidak wujud kebimbangan di kalangan masyarakat untuk menghantar anak-anak mereka ke tabika Kemas kerana tabika itu menggunakan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.



“Selain itu, program untuk meningkatkan kemahiran tenaga pengajar turut diwujudkan bagi memastikan mereka berkemahiran, berpengetahuan dan mampu berkhidmat dengan sebaik mungkin melalui program Kursus Dalam Cuti di institut-institut perguruan,” katanya.

Sehingga kini, Kemas merupakan salah satu jabatan yang berperanan dalam melahirkan modal insan berkualiti khususnya melalui tabika kerana pengajaran dan pembelajarannya menggalakkan perkembangan sosial, emosi, intelek dan fizikal di samping menyediakan asas yang kukuh kepada kanak-kanak sebelum pendidikan formal di sekolah rendah.