Halaman

14 September 2011

Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) tawar tempat kursus

Oleh: Mohammad Ishak


ILIM Wilayah Timur sedia tempat latihan

Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Wilayah Timur, Bukit Keluang,Besut sedia menawarkan tempat kursus dan latihan kepada mereka yang berminat untuk menganjurkan pelbagai program dan aktiviti jabatan terbabit.

ILIM Wilayah Timur yang menjadi peneraju latihan Islam di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Malaysia (JAKIM) mula beroperasi awal tahun ini mempunyai pelbagai kemudahan asas untuk kegunaan latihan.

Ketua Unit Pentadbiran dan Kewangan,Mohd Sabri Lokman berkata, institut itu mempunyai kemudahan termasuk bilik seminar,bilik kuliah, perpustakaan,surau,asrama dan kafetaria mula beroperasi pertengahan tahun lalu.

Katanya, institut itu selain untuk melatih professional agama termasuk imam, bilal dan pendakwah Islam ia juga boleh digunakan oleh agensi dan jabatan kerajaan lain untuk menganjurkan program di situ.

Menurutnya, ketika ini pihaknya menawarkan tempat secara percuma kepada mana-mana pihak yang ingin mengadakan program di situ manakala pakej makan disediakan oleh pentadbiran ILIM yang dikenakan bayaran.

Beliau berkata, selepas ini mana-mana pihak yang ingin mengadakan latihan di ILIM akan dikenakan caj mengikut pakej yang ditetapkan pihak pentadbiran.

ILIM Wilayah Timur mempunyai lokasi menarik terletak di kawasan pelancongan Bukit Keluang dan berhampiran Institut Perguruan Sultan Mizan (IPSM),Kompleks Imtiaz dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab.

Penubuhan ILIM Wilayah Timur melengkapkan lagi usaha kerajaan untuk melahirkan lebih ramai cerdik pandai Islam bertaraf dunia dan berkemahiran tinggi dalam pelbagai profesion keagamaan di negara ini.