Halaman

27 September 2011

JKNT nafi dakwaan `pilih kasih’

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan tiada keadilan berkaitan agihan bantuan kerajaan negeri bagi setiap hospital daerah di Terengganu.

Pengarah JKNT, Dr Nordiyanah Hassan berkata, pihak berkaitan tidak wajar mengeluarkan kenyataan termasuk hanya memberi perhatian kepada Hospital Kemaman dalam soal agihan peruntukan tanpa mencari maklumat tepat.

Katanya, setiap bantuan yang dikeluarkan kerajaan negeri akan diagihkan mengikut keperluan terdesak atau tertentu kepada setiap hospital daerah di negeri ini.

“Pihak kami mengakui peruntukan yang dibelanjakan bagi di hospital sama ada untuk membeli peralatan, menyediakan kemudahan, infrastruktur, menyelenggara atau sebagainya agak tinggi sehingga mencecah jutaan ringgit bagi setiap tahun.

“Apa yang dibelanjakan ini adalah untuk kepentingan dan keselesaan pesakit semata-mata terutama mereka yang berpendapatan rendah,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Dr Nordiyanah berkata, mereka yang mempunyai sebarang masalah mengenai perkhidmatan mana-mana hospital daerah di negeri boleh menghantar sebarang aduan kepada beliau melalui alamat e-mail nordiyanah@moh.gov.my.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Haji A Rahman Mokhtar, berkata kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM2 juta setahun menerusi skim kebajikan sosial perubatan bagi membantu rakyat yang tidak berkemampuan membiayai rawatan.

“Sebanyak 82 peratus sudah dibelanjakan dengan 3,165 pesakit mendapat manfaat daripada keseluruhan RM10 juta yang disediakan sepanjang empat tahun bermula 2007 lalu.

“Antara peralatan yang disediakan bagi manfaat pesakit termasuk kaki palsu, mesin oksigen, implant, lampin pakai buang, bekalan susu khas yang melibatkan jumlah perbelanjaan RM8.6 juta,” katanya.

Katanya, pada masa sama, pihaknya turut mengeluarkan belanja sebanyak RM7.6 juta bagi membeli pelbagai peralatan untuk kegunaan Hospital Sultanah Nur Zahirah bagi tahun lalu.