Halaman

21 September 2011

Lagi anak Terengganu layak ke pertandingan peringkat dunia

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah menyumbang sebanyak RM20,000 kepada Mohd Aiman Yusof, 22, yang terpilih mewakili negara ke pertandingan Worldskill ke London, United Kingdom pada 5 hingga 8 Oktober depan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sumbangan ini adalah untuk menampung perbelanjaan Mohd Aiman sepanjang berada di sana yang sebahagian besarnya telah dibiayai Jawatankuasa Pembangunan, Kementerian Sumber Manusia.




Mohd Aiman yang berasal dari Kampung Kuala Bekah, Kuala Terengganu adalah pelajar Diploma Seni Kulinari, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun dan akan bersaing dengan 1,000 peserta seluruh dunia di pertandingan itu nanti.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Mohd Aiman yang berjaya menewaskan peserta lain dari seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/IPTS) seluruh negara dan melayakkan diri ke pertandingan berprestasi tinggi itu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Seri Haji Ahmad memaklumkan kerajaan akan mengagihkan bantuan pendidikan kepada 2,145 orang pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini berjumlah RM2.1 juta.

Katanya, program Khatam al-Quran membabitkan pelajar Tabika Yayasan Islam Terengganu (YIT) berusia lima hingga enam tahun serta pelajar Kelas Asas Fardu Ain (Kafa) di Sekolah Kebangsaan (SK) akan diadakan pada 22 Oktober depan.

“Tahun ini seramai kira-kira 25,900 akan khatam dan daripada jumlah berkenaan 7,900 pelajar Tadika YIT dan 18,000 pelajar Kafa,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri menyasarkan semua anak negeri ini berjaya khatam al-Quran sebelum melangkah ke sekolah menengah.