Halaman

05 September 2011

Mahasiswa pelapis kepimpinan negara

Oleh; Esah Abdullah

Tanggungjawab dan kewajiban adalah amanah yang mesti ditunaikan, lantas hanya mahasiswa yang memiliki jiwa kental , berfikiran matang dan berpandangan jauh mampu menyempurnakan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Budaya membaca, menyelidik dan berdiskusi akan membentuk jati diri, karektor dan peribadi yang unggul dan seimbang dari semua segi,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di majlis Minggu Mesra Siswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA, Kampus Gong Badak, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UNiSZA, Dato’ Prof. Dr. Alias Daud; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Abdul Manaf Ali dan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Encik Nordin Jusoh.

Katanya, di samping menuntut ilmu di dewan kuliah, pelajar juga perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran serta nilai insaniah agar dapat menghadapi persaingan dunia luar yang lebih bersifat glokal dan agresif.

Menurutnya, kampus UNiSZA dilengkapi prasarana, alat bantu dan persekitaran yang menyuburkan budaya ilmu serta kondusif ke arah kegiatan pelajar serta kemudahan kolej kediamannya adalah yang terbaik antara 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam negara.

“Mahasiswa perlu memiliki ketrampilan, sahsiah dan jati diri cemerlang agar aspirasi negara untuk melahirkan generasi pelapis kepimpinan terlaksana,” katanya.

Sehubungan itu, Menteri Besar menyeru agar semua pelajar tidak mempersia-siakan peluang dan ruang yang telah disediakan, belajar bersungguh-sungguh agar tercapai cita-cita serta laksanakan tanggungjawab dengan jujur dan amanah.

“Hindari daripada melakukan perkara yang melanggar peraturan yang ditetapkan kerana mahasiswa merupakan ikon kepada masyarakat,” katanya.

Katanya, UNiSZA akan terus memastikan kurikulum yang digunakan memenuhi syarat yang telah ditetapkan dan memastikan semua program mendapat pengiktirafan badan professional dan jaminan kualiti IPTA Kementerian Pengajian Tinggi.

“Kita perlu menghasilkan guna tenaga pada setiap peringkat yang diperlukan untuk industri dan sektor pekerjaan di mana produk inilah yang akan menjayakan agenda negara dalam usaha membangunkan dan merealisasikan modul insan berketrampilan,” katanya.