Halaman

28 September 2011

MB minta wakil rakyat hulur bantuan segera

Oleh: Suriati Ali

Wakil rakyat di negeri ini di minta memberi bantuan segera kepada mana-mana penduduk yang mengalami kerugian harta benda dan kerosakan rumah akibat di landa ribut dan angin kencang malam tadi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bantuan segera amat diperlukan mereka bagi membaiki pelbagai kerosakan seperti bumbung, dinding dan pelbagai kelengkapan lain.

Katanya, pihaknya belum menerima maklumat tepat mengenai jumlah rumah yang rosak serta kerugian harta benda awam akibat bencana yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di negeri ini, termasuk Seberang Takir dan Kuala Terengganu.

“Penduduk berkaitan tidak perlu bersedih di atas apa yang terjadi kerana kerajaan negeri bersedia menghulur bantuan melalui peruntukan khas di kawasan masing-masing.
“Kejadian ribut dan hujan lebat yang berlaku malam tadi agak laur biasa berbanding apa yang pernah di alami sebelum ini di mana banyak kemudahan awam seperti tiang lampu, pondok rehat dan papan iklan rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tinjauan Teganukita mendapati, pihak berkaitan iaitu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia mula membersihkan kawasan yang dilanda ribut dengan mengalihkan dahan pokok dan membetulkan papan tanda, kabel elektrik serta kabel telefon.