Halaman

18 September 2011

Muhammad Ali dianugerah ijazah kehormat UniSZA

Oleh FAUZI MOHD

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pentadbiran Perniagaan kepada bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim sempena konvokesyen universiti itu, semalam.



Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Alias Daud memberitahu, penganugerahan ijazah kehormat kepada Muhammad Ali adalah kerana kegigihan beliau memacu JCorp ke tahap cemerlang selama lebih 28 tahun.

Katanya, berbekalkan kelulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya (1969), beliau yang memulakan kerjaya awalnya sebagai ahli ekonomi di Bank Negara Malaysia telah berjaya sebagai pentadbir perniagaan yang disegani.

“Semasa memikul tanggungjawab sebagai Presiden Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang antara tahun 1982 hingga 2008, Pasir Gudang pesat membangun sebagai sebagai salah sebuah bandar industri terulung di Malaysia.

“Ketokohan beliau juga terserlah apabila pernah dilantik menjadi pengerusi beberapa syarikat Kumpulan JCorp termasuk Syarikat Kulim Berhad, KFC Holding Berhad, KPJ Healthcare Berhad dan QSR Brands Berhad,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah selaku Canselor Unisza berkenan menyampaikan anugerah itu sambil disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang turut berangkat ke istiadat tersebut.

Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, Muhammad Ali telah dianugerahkan enam ijazah kehormat iaitu Doktor Falsafah Pengurusan dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 2000, Doktor Falsafah Keusahawanan (Universiti Teknologi Mara, 2007) dan Doktor Falsafah Pengurusan Teknologi (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, 2007)

Tahun lalu, tiga institusi pengajian tinggi turut menganugerahkan ijazah kehormat kepada beliau iaitu Doktor Falsafah Keusahawanan dari Universiti Utara Malaysia, Doktor Pendidikan Keusahawanan (Universiti Pendidikan Sultan Idris) dan Doktor Falsafah Keusahawanan dan Muamalat (Kolej Universiti Insaniah).