Halaman

28 September 2011

Nikmat keamanan

Oleh; Esah Abdullah



Hasil kebijaksanaan kepimpinan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) sejak dulu hingga sekarang membolehkan rakyat hari ini terus menikmati keamanan dan kesejahteraan hidup.

“Dari semasa kesemasa sentiasa ada peningkatan dalam pembangunan ekonomi serta taraf kehidupan masyarakat mengikut peredaran masa,” kata Pengarah Unit Komunikasi Negeri (Ukom), Haji Shamsuddin Sulong di majlis Bicara Media Bersama Bekas Anggota Polis di Hotel Permai Kuala Terengganu petang ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Ukom, Encik Roslan Abdul Rahman; Timbalan Pengerusi Persatuan Bekas Polis Terengganu, Haji Kahar Hamzah, wakil-wakil media dan 20 orang bekas anggota polis yang diraikan.



Katanya, jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan yang menjadi benteng kepada keselamatan negara akan terus menjadi ingatan generasi hari ini.

“Kita tidak rela dan biarkan bila ada pihak yang cuba mempersendakan segala pengorbanan anggota polis dahulu yang sanggup bergadai nyawa demi untuk memastikan anak cucu hari ini dapat hidup senang,” katanya.

Sementara itu Haji Kahar melahirkan rasa terkilan dan sedih dengan fenomena yang berlaku hari ini, yang mengembalikan ingatannya pada zaman negara berada diambang kekacauan akibat pengaruh komunis.

“Ada usaha halus yang cuba mempengaruhi masyarakat Melayu hari ini supaya bertelagah sesama sendiri serta cuba meretakkan perpaduan kalangan masyarakat berbilang kaum,” katanya.