Halaman

29 September 2011

Penjawat awam wajar memiliki integriti tinggi

Oleh: Suriati Ali

Penjawat awam di negeri ini di minta mengambil inisiatif dan berusaha memastikan tahap integriti tugas harian sentiasa berada pada tahap tinggi.



Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Wan Ahamad Wan Muda, berkata setiap penjawat awam wajar memberi keyakinan kepada orang ramai terhadap usaha yang sudah selesai dan sedang dilaksanakan kerajaan melalui perlaksanaan undang-undang.

“Pendekatan itu cukup penting bertujuan memberi keyakinan kepada pembayar cukai, pelabur dan rakyat di negeri ini supaya komited untuk melaksanakan pentadbiran yang telus dan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikiah ketika berucap di Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (29 September).



Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan) Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Puan Mahzum Ariffin; Pengarah Insolvensi Terengganu, Puan Hafizatul Ifa Ab Razak; Pengarah Jabatan Guaman Negeri, Darmafikri Abu Adam dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Taklimat sehari itu memberi penerangan kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai akta perlindungan pemberi maklumat 2010, isu kebankarapan di Malaysia dan khidmat bantuan guaman.

Dato’ Wan Ahamad mengharapkan melalui penerangan dan kefahaman yang akan diberikan pihak berkaitan melalui program seumpama ini dapat membantu setiap pelaksanaan akta tertentu.

“Ini merupakan inisiatif dalam memastikan penjawat awam maklum dan sedar bahawa mereka yang ingin membuat aduan berkenaan salah laku pegawai atasan akan dilindungi.
“Salah laku bukan sahaja melibatkan kesalahan jenayah, tetapi juga kesalahan tatatertib pegawai yang berkhidmat di sektor awam dan swasta,” katanya.

Katanya, apa yang membimbangkan berkaitan isu kebankrapan adalah melibatkan penjawat awam di mana semakin ramai dikesan gagal membayar balik pinjaman di mana-mana institusi kewangan.