Halaman

08 September 2011

Penyu terus tunjuk aksi juara

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sebagai juara Piala FA, pasukan Penyu terus menunjukkan aksi meyakinkan apabila mengalahkan Sime Darby 3-0 pada perlawanan sulung Piala Malaysia di Stadium Selayang, malam kelmarin.

Seluruh rakyat negeri ini, khususnya peminat bola sepak begitu mengharapkan agar pasukan kesayangan mereka meneruskan rentak kemenangan apabila berdepan dengan PKNS di gelanggang sendiri , Sabtu ini.

Setakat ini Terengganu menjuarai kumpulan B yang turut mengandungi pasukan Negeri Sembilan, PKNS dan Sime Darby.

Di atas kertas, Terengganu tidak menghadapi masalah besar untuk berdepan dengan PKNS, apatah lagi perlawanan tersebut diadakan di tempat sendiri di mana tentunya ia akan menerima sokongan padu daripada penonton.

Dalam perlawanan Piala Malaysia, pelbagai pihak, khususnya peminat dan penyokong bolasepak Terengganu, termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menaruh harapan agar Piala Malaysia dibawa ke Terengganu, pada kejohanan kali ini.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti mengingatkan anak buahnya supaya jangan selesa selepas mereka memperoleh tiga mata penuh pada perlawanan pertama setelah menewaskan Sime Darby 3-0.

"Sungguhpun kita berjaya memperoleh kejuaraan Piala FA tahun ini, namun itu semua perlu dilupakan sementara ketika sedang mengharungi cabaran Piala Malaysia,” katanya.

Beliau mahu pemainnya tidak membangga diri dengan kejayaan menjuarai Piala FA, sebaliknya menumpukan perhatian terhadap usaha pasukan mahu memang Piala Malaysia.