Halaman

22 September 2011

Terengganu Inc beroperasi di bangunan sendiri

Oleh; Esah Abdullah



Terengganu Incorporated (TI) kini mempunyai bangunan sendiri di Kawasan Perindustrian Chendering dan dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said hari ini.



Bangunan asal milik Syarikat Ladang Rakyat ini dibeli dengan harga RM9.5 juta untuk dijadikan pusat pentadbiran dan operasi yang menempatkan 26 kakitangan pelbagai jawatan.

“Sebelum ini TI menumpang di bangunan SEDC kemudian berpindah ke kuanters kerajaan Batu Buruk dan sekarang baru dapat bangunan sendiri yang selesa,” kata Menteri Besar pada sidang media di Chendering hari ini.



Katanya, selaku syarikat induk kepada 32 syarikat anak kerajaan negeri , TI perlu ada bangunan sendiri yang selesa sebagai pusat pentadbirannya.

Sehubungan itu, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan pelaburan dan tumpuan diberi kepada projek yang boleh mendatangkan keuntungan kepada syarikat.

“Setakat ini dua syarikat iaitu Permint Sutera Semai dan Hubungan Raya telah ditutup dan yang terbaru GP Door yang mengalami kerugian berterusan walaupun setelah pemulihan dibuat,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak sanggup menanggung beban berpanjangan dan terpaksa menutup mana-mana syarikat tidak boleh membuat keuntungan.

"Kajian menyeluruh akan dibuat bagi mengesan pemasalahan yang dihadapi dan mencari punca kenapa sesebuah syarikat itu tidak boleh membuat untung sedangkan projek berjalan seperti biasa,” katanya.