Halaman

02 September 2011

Terengganu mahu padam rekod 10 tahun

Oleh FAUZI MOHD

Pasukan Terengganu berhasrat untuk memadamkan rekod 10 tahun gagal ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Bagi merealisasikan impian itu, jurulatih skuad berkenaan, Irfan Bakti Abu Salim berkata, pasukan itu akan berusaha lebih keras dalam berhadapan dengan pasukan Negeri Sembilan, Selangor PKNS dan Kuala Lumpur Sime Darby.

Katanya, pertembungan empat pasukan yang disenaraikan dalam kumpulan B itu memerlukan skuad Penyu membaca rentak permainan serta tidak memandang rendah kemampuan pihak lawan.

Biarpun baru dinobatkan juara Piala FA katanya, anak buahnya perlu menampilkan persembahan yang menarik dan mencipta kemenangan jika ingin berada dalam keadaan lebih selesa dalam kumpulan.

"Saya sering kali mengingatkan pemain untuk tidak memandang mudah dengan kebolehan lawan jika ingin memadamkan rekod 10 tahun tidak layak ke final Piala Malaysia," katanya di sini baru-baru ini.

Tambah Irfan, ditambah dengan pengalaman tujuh pemain yang terpilih dalam pasukan kebangsaan, beliau yakin tahun ini ialah tahun terbaik untuk Terengganu menjuarai Piala Malaysia.

"Setakat ini, pencapaian terbaik pasukan Terengganu adalah melangkah ke peringkat separuh akhir dalam Piala Malaysia," katanya.