Halaman

20 September 2011

UMT minta sokongan Kerajaan Terengganu wujudkan ‘life museum’

Oleh FAUZI MOHD

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bercadang untuk mewujudkan sebuah 'life museum' yang bakal menempatkan hasil kajian penyelidik universiti itu dalam bidang maritim dan akua.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman berkata, penubuhan muzium itu sebagai tatapan umum, agar masyarakat lebih terdedah dan memahami dengan lebih mendalam, apatah lagi bidang maritim menjadi fokus utama kepada universiti itu.

Menurutnya, berdasarkan perancangan awal, muzium itu akan turut dilengkapi dengan sebuah akuarium besar yang dianggarkan melibatkan kos bernilai RM10 juta hingga RM30 juta.

“UMT ada keperluan mendesak untuk membina muzium ini kerana kita sedang berusaha untuk meningkatkan keperluan dan kemudahan dalam bidang ini, bersesuaian dengan dua bidang baru yang diperkenalkan di UMT sendiri, iaitu Fakulti Perikanan dan Akua serta Pelancongan.

“Bagi merealisasikan hasrat ini, kita mengharapkan Kerajaan Negeri dapat memberikan sokongan sewajarnya dengan memberikan satu kawasan yang bersesuaian seperti di Pulau Duyong atau Seberang Takir kerana faktor lokasinya yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjayakan Program Malam Mesra Media UMT di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyong di sini, malam tadi..

Menurut Dr. Aziz lagi, walaupun Terengganu dikelilingi dengan lautan, tetapi masih belum ada muzium bagi menempatkan hasil-hasil penyelidikan yang dilakukan oleh pakar-pakar penyelidik, khususnya dari UMT untuk tatapan umum.

“Sebelum ini, kebanyakan hasil penyelidikan yang ditemui sama ada sampel hidup atau mati tidak dapat disimpan dalam tempoh lama memandangkan bilik penyimpanan yang terdapat di universiti mempunyai ruang yang terhad.

“Jadi, dengan adanya muzium ini, ia akan memberi peluang kepada orang ramai melihat keadaan sebenar proses penyelidikan yang dijalankan dan seterusnya dapat menjadi tarikan baru kepada sektor pelancongan di negeri ini,” katanya lagi.