Halaman

03 October 2011

BMKK bakal diwajibkan kepada penjawat awam


Oleh; Esah Abdullah


Kerajaan negeri merancang menjadikan program Bulan Madu Kali Kedua (BMKK) sebagai kursus ‘wajib’ kepada penjawat awam dalam usaha memantapkan institusi keluarga di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, program yang dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) itu amat baik untuk meningkatkan kualiti hidup berkeluarga.

“Saya harap YPK buat mesyuarat jabatan dan sediakan kertas kerja mengenainya agar boleh saya panjang ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009/2010 dan Pelancaran MS ISO 9001:2008 YPK, di Dewan Utama YPK petang semalam.

Hadir sama, Pengarah YPK, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa dan timbalannya, To’ Puan Hajah Zaimah Abdul Aziz.



Dato’ Mazlan memberi respon di atas saranan YPK agar kerajaan negeri menjadikan program BMKK dilaksanakan kepada setiap kakitangan kerajaan khususnya bagi pasangan yang berkahwin lima tahun ke bawah.

Mengikut kajian pasangan berkahwin dalam tempoh berkenaan menghadapi pelbagai masalah penyesuaian dan setakat ini jumlah ibu tunggal meningkat kepada 17,000 orang diseluruh negeri.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Haji Mazlan berkata peranan yang dimainkan penjawat awam dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat akan memberi impak besar kepada kerajaan kerana kualiti perkhidmatan menjadi kayu ukur bagi sesebuah jabatan.

“Perkhidmatan cemerlang serta pengiktirafan Sijil MS ISO akan menjadi inspirasi serta meningkatkan motivasi kakitangan untuk terus memberi perkhidmatan terbaik tanpa mengira bangsa dan keturunan,” katanya.


Katanya, kerajaan mendambakan warga kerja yang mempunyai budaya kerja cemerlang serta mengutamakan orang ramai dalam setiap tindakan bagi memastikan pelaksanaan transformasi total pucuk pimpinan negeri dapat direalisasikan.

Seramai 80 orang kakitangan YPK pelbagai jawatan menerima Sijil Khidmat Cemerlang masing-masing yang disampaikan Dato’ Haji Mazlan.

Melalui pengiktirafan yang diperolehi setiap mereka menerima wang tunai RM1,000 seorang, sijil penghargaan serta lawatan kerja ke Sabah atau Serawak.