Halaman

09 October 2011

Dua beradik talesemia dapat Diploma Psikologi

Oleh FAUZI MOHD

BIARPUN sukar namun akhirnya dua beradik yang juga pesakit talesemia berjaya menamatkan pengajian mereka sehingga membolehkan mereka menerima Diploma Psikologi, semalam.

Kedua-dua graduan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) yang berasal dari Temerloh, Pahang memperoleh diploma masing-masing sempena majlis konvokesyen ke-4 kolej yang diadakan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam dekat sini.

Bagaimanapun ibu bapa Siti Rafidah Ali, 26 dan adiknya Kasimah Ali, 21 merupakan orang paling gembira kerana kedua-dua anaknya itu tidak akan dipandang rendah lagi kerana sudah mempunyai kelulusan.

Menurut Noraidah Dai, 47 kedua-dua anaknya itu yang disahkan menghidap penyakit tersebut sejak berusia tiga bulan dan sejak itu mereka terpaksa menjalani beberapa pembedahan dan rawatan pemindahan darah.

“Saya tahu dalam keadaan mereka sakit adalah sukar untuk mereka menumpukan sepenuh masa untuk belajar tetapi saya bersyukur kerana akhirnya mereka berjaya menamatkan pengajian bersama-sama,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian diploma dan sijil kepada 1,054 graduan daripada 12 program oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Dr. Abdul Latif Ahmad semalam.

Turut hadir, Pengerusi KIST, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Pada majlis sama, seorang lagi graduan Diploma Psikologi, Aisyah Ahmad Khusairi, 24 muncul sebagai graduan terbaik dan mendapat Anugerah Dato’ Razali sempena majlis itu.

Sementara itu, bapa graduan berkenaan, Ali Mat Noor, 57 memberitahu, tanggungjawabnya untuk memberi pendidikan kepada anak sulung dan ketiganya itu sudah terlaksana apabila mereka sudah memperoleh diploma masing-masing.

“Jika selepas ini mereka kerja sebagai penjual goreng pisang sekalipun saya tidak kisah sebab mereka akan jadi penjual goreng pisang yang ada kelulusan,” katanya.