Halaman

30 October 2011

Hulu Terengganu sedia hadapi banjir

Pejabat Parlimen Hulu Terengganu melakukan pelbagai persiapan awal, termasuk mengenal pasti pusat-pusat pemindahan mangsa banjir di kawasan yang sering ditenggelami air, bagi menghadapi kemungkinan berlaku bah besar tahun ini.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Mohd Nor Othman, berkata daerah itu sering mengalami banjir setiap kali musim tengkujuh dan pelan tindakan awal seperti penyediaan bahan bekalan makanan dan gerakan menyelamat mangsa banjir perlu dilakukan lebih awal bagi mengelak tragedi tidak diingini.

Beliau berkata, antara kawasan yang sering dilanda banjir ialah Kampung Bukit Tadok, Kampung Nibong, Kampung Lubuk Perah, dan beberapa kampung sekitar Hulu Berang.

Sebanyak 112 pangkalan hadapan diwujudkan di seluruh negeri bagi menghadapi banjir yang dijangka berlaku pada bila-bila masa sebelum penghujung tahun ini.

Sebanyak 78 pusat perpindahan yang mampu menempatkan 8,640 mangsa banjir disediakan di daerah Hulu Terengganu, pada tahun ini.

Semua agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pejabat-pejabat daerah juga bersiap sedia menjalankan tanggungjawab mereka jika banjir berlaku.

YB Mohd Nor berkata, bilik gerakan banjir akan dibuka segera sebaik saja terdapat mangsa banjir berpindah, bagi memudahkan urusan penghantaran bekalan dan bantuan di kawasan terlibat.

Beliau menasihatkan penduduk yang terlibat dengan banjir supaya berpindah segera jika diminta pihak berkuasa dan tidak menunggu hingga ke saat akhir untuk berbuat demikian.