Halaman

12 October 2011

INSPI cipta kecemerlangan ganti KUSZA

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Institut Pengajian Islam (INSPI) Yayasan Islam Terengganu semakin mencipta nama sebagai pusat pengajian yang menjana graduan bidang agama dan mendapat pengiktirafan universiti tempatan serta luar negara.

Pengerusi INSPI, YB Ustaz Muhammad Ramli Nuh, berkata sejak kebelakangan ini INSPI menjadi sebutan dan pusat pengajian itu disebut-sebut bakal menggantikan Kolej Universiti Zainal Abidin (KUSZA) yang cukup terkenal di Terengganu pada masa dahulu.

“Dulu nama KUSZA cukup sinonim dengan Terengganu kerana ia terkenal sebagai pusat pengajian yang melahirkan graduan-graduan di bidang agama.


“Bagaimanapun, selepas KUSZA dinaiktaraf menjadi Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), INSPI pula disebut-sebut bakal menggantikan Kusza sebagai pengeluar graduan di bidang agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Antara Darul Quran JAKIM dengan INSPI Yayasan Islam Terengganu Bagi Program Diploma Tahfiz Wa Dakwah di Menara YIT, hari ini.

Pengarah Darul Quran, Haji Paimuzi Yahya mewakili Darul Quran manakala INSPI diwakili Pengarah YIT, Haji Md. Kamaru Al-Amin, bagi menandatangani MoU berkenaan yang membolehkan graduan INSPI diiktiraf universiti tempatan dan luar negara.



Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Pengarah JAKIM, Haji Razali Shahabudin dan Pengetua INSPI, Ustaz Firdaus Khairi Abd Kadir.

YB Ustaz Haji Muhammad Ramli berkata, pihaknya akan berusaha lebih gigih, termasuk menambah bilangan pelajar di INSPI bagi memastikan pusat pengajian tersebut mengukir nama setaraf dengan KUSZA.

Beliau berkata, dengan termerterainya MoU tersebut banyak keuntungan diperolehi oleh INSPI, termasuk mendapatkan tenaga pengajar dari Darul Quran dan memberi lebih banyak peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di luar negara.


No comments: