Halaman

31 October 2011

Jiran Wanita KRT Besut anjur Bengkel Keusahawanan

Oleh: Mohammad Ishak

TEKUN...Jiran Wanita Daerah Besut menyertai pertandingan jahitan manik


Jiran Wanita Kawasan Rukan Tetangga Daerah Besut sekali lagi mengaktifkan aktiviti untuk golongan berkenaan apabila menganjurkan Bengkel Keusahawanan dan Pertandingan Jahitan Manik.

Bengkel dengan kerjasama Pejabat Perpaduan Daerah Besut yang berlangsung di Dewan Pusat Aktiviti Perpaduan, Jalan Tembila, Kampung Raja, adalah aktiviti tahunan sejak 2009 dianjurkan pihak terbabit.

Pegawai Perpaduan Daerah,Noor Almizan Mahmood, yang merasmikan program itu berkata pihaknya bangga dengan usaha yang dilakukan oleh Jiran Wanita daerah itu yang mampu menganjurkan aktiviti sejak tiga tahun lalu.

Katanya, bengkel turut dimanfaatkan dengan ceramah keusahawanan yang disampaikan oleh Pegawai Mara bertujuan memberi pendedahan kepada wanita mengetahui selok belok menjadi usahawan.

Seramai 50 peserta mewakili Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dari seluruh daerah Besut menyertai bengkel sehari yang turut menganjurkan pertandingan jahitan manik.

Pertandingan jahitan manik itu susulan daripada kursus jahitan manik yang pernah diadakan oleh penganjur tahun lalu bertujuan mengcukil bakat dikalangan ahli Jiran Wanita terbabit.

Noor Almizan berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan lebih banyak program membabitkan kumpulan Jiran Wanita pada tahun depan kerana ia mendapat sambutan.

“Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional tiada halangan menyalurkan peruntukkan kepada kumpulan berkenaan yang beminat menganjurkan sesuatu aktiviti,” katanya.