Halaman

27 October 2011

KTCC beri impak hartanah Terengganu



Projek Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Pantai Timur (ECERDC) akan memberi impak jangka panjang yang ketara ke atas pasaran hartanah Terengganu.

Wilayah itu akan dapat menarik lebih banyak pelaburan tempatan dan asing dalam sektor hartanah Terengganu menerusi pembangunan tanahnya yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM5 bilion.

Foo Gee Jen, Pengarah Urusan CH Williams Talhar & Wong, perunding hartanah terkemuka, berkata kesan limpahan KTCC ke atas sektor hartanah tempatan sudahpun dapat dilihat di Kuala Terengganu apabila harga tanah dan rumah telah meningkat ketara.

"Trend ini dijangkakan berterusan mengikut fasa kemajuan KTCC, dan permintaan yang lebih tinggi untuk kawasan kediaman dan komersil di sekitar Kuala Terengganu.

"KTCC akan mengubah landskap Kuala Terengganu supaya setara dengan bandar raya lain di Malaysia, dan pusat bandar tebingan air akan berperanan sebagai destinasi pelancongan hebat," kata Foo.

Foo berkata komponen strategik KTCC yang meliputi kediaman tebingan air, kelompok gaya hidup bersepadu, kampung kesihatan dan kesejahteraan serta resort tema, akan memacu permintaan yang kukuh untuk pembangunan perumahan dan komersil.

Beliau berkata kawasan komersil sedia ada di Kuala Terengganu seperti Paya Keladi, Kampung China dan Pasar Payang, sedang menjalani pembangunan semula dan ia akan mendapat manaat daripada lokasi yang strategik berhampiran KTCC.

"KTCC ialah pembangunan unik, tidak seperti di negeri lain, memandangkan ia adalah gerbang kepada aktiviti kehidupan resort dan marin, serta warisan kebudayaan unik Terengganu.

Pembangunan baharu yang menarik ini, yang terletak di kawasan strategik di tengah-tengah Kuala Terengganu, akan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, dan akan mengurangkan kadar penghijrahan semasa ke pekan dan bandar besar lain.

"Kami menjangkakan lebih banyak pelaburan daripada pelabur tempatan dan asing yang akan merebut peluang daripada insentif yang ditawarkan oleh ECERDC, termasuk kelonggaran pemilikan tanah," katanya.

Pembangunan KTCC bertumpu sekitar Muara Utara, Muara Selatan, Pulau Warisan, Kampung Ladang/Tanjung dan Tebingan Corniche.

Keseluruhan pembangunan dianggarkan mewujudkan 82,000 pekerjaan menjelang 2020.

KTCC dijangkakan meliputi sebuah kompleks komersil, pusat konvensyen bertaraf antarabangsa, unit kediaman moden, tarikan membeli-belah, pusat perubatan, percutian dan pendidikan.

Jambatan angkat di situ akan menjadi ikon pertama seumpamanya di Malaysia, sekaligus mewujudkan mercu tanda menarik di Terengganu.

Projek dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu minggu lepas.

Ia akan dilaksanakan menerusi dua fasa, dan akan siap menjelang 2020.