Halaman

16 October 2011

Larian Merdeka Raya Kemaman 2011

Oleh: Nurul Aziela Saberi



Program Larian Merdeka 2011 yang diadakan di Cheneh Baru, semalam, mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat apabila 1,000 peserta menyertai acara tersebut.

Sejak awal pagi penduduk tempatan memenuhi Padang Awam Bandar Cheneh Bharu untuk menyertai acara pelbagai sukan yang dipertandingkan.

Beberapa agensi kerajaaan dan swasta seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian dan banyak lagi turut menyertai pameran yang diadakan sempena pameran berkenaan.



Antara sukan rakyat yang dipertandingkan ialah lari kaki tiga, gelek buah kelapa, lari dalam guni, bola jaring, bola sepak dan futsal kanak-kanak tadika KEMAS.

Acara cabutan bertuah paling dinanti-nanti orang ramai yang menyertai program itu kerana pelbagai hadiah menarik seperti skuter, TV LCD 42 inci dan basikal disediakan penganjur.

Murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan Cheneh Bharu, Norhidayati Abd. Karim sangat bertuah pada pagi semalam kerana telah memenangi hadiah cabutan bertuah tempat pertama iaitu sebuah skuter merah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Tan Sri Haji Wan Mokhtar merasmikan majlis penutup di Astaka Padang Awam Bandar Cheneh Bharu dan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

Penduduk setempat berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.