Halaman

22 October 2011

Marzuki dan rakan-rakan tekad tumpaskan Selangor

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kapten Terengganu, Marzuki Yusof dan rakan-rakan tekad mahu menumpaskan Selangor dalam perlawanan separuh akhir kedua pertandingan Piala Malaysia di gelanggang sendiri, malam ini.

Mereka berazam mematahkan semangat lawan seawal minit pertama seperti yang dilakukan pada pertemuan di gelanggang lawan sebelum ini, bagi memastikan skuad “Penyu” mara ke final.

“Jika kita berjaya mendapat gol awal seperti pertemuan pertama minggu lalu, sudah pasti semangat pasukan lawan akan pudar dan kita dapat menguasai perlawanan sepenuhnya,” katanya.

Beliau yakin dengan sokongan padu penyokong Terengganu, mereka akan menang perlawanan dengan pasukan yang sebelum ini muncul juara Piala Malaysia 32 kali, seterusnya melangkah ke pertandingan akhir.


Marzuki berkata, dia dan rakan-rakanya tidak gentar untuk menghadapi pasukan lawan, apatah lagi kali ini mereka akan bermain di gelanggang sendiri yang pastinya mendapat sokongan padu peminat.

Katanya, mereka berazam untuk mengatasi Selangor dan mara ke final, seterusnya memenangi Piala Malaysia untuk ‘dihadiahkan’ kepada rakyat Terengganu seperti Piala FA.