Halaman

14 October 2011

Masalah banjir berakhir selepas MB ‘turun padang’

Oleh: Nurul Aziela Saberi



Kini penduduk setempat tidak lagi rungsing memikirkan keadaan rumah mereka apabila hujan turun dengan lebat dan mereka boleh tidur dengan lena sepanjang musim hujan.

Minggu lepas Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menjengah ke Kampung Sungai Mas, Padang Kubu Kemaman untuk melihat sendiri keadaan kampung sekeliling yang saban tahun menghadapi masalah banjir kilat.

Menurut Pengerusi JKKK Sungai Mas, Mohd Rafi Ismail, 47, setelah Menteri Besar sendiri ‘turun padang’ dan melihat sendiri keadaan kampung itu, pihak ladang ladang terus mengambil tindakan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Sebelum ini pihak JKKK telah berulang kali naik turun ke pejabat berkenaan meminta supaya sungai digali dan dibesarkan bagi menggelak berlakunya banjir kilat, tetapi tidak diendahkan.

Malah, katanya, pihak berkenaan memberi pelbagai alasan, termasuk tiada peruntukan kewangan untuk mengupah tenaga kerja.

Beliau berkata, selepas lawatan Menteri Besar, keesokan harinya, pihak pengurusan TDM Plantation SDN BHD Ladang Jernih telah memulakan operasi mereka dengan kerjasama TDM.



Biarpun proses penggalian sungai baru 30 peratus dilakukan, masalah banjir telah dapat diatasi walaupun kebelakangan ini hujan turun dengan lebat.

Mohd Rafi berkata, sungai telah digali dan dibesarkan malah longkang-longkang juga telah diselenggara dengan baik dan membuatkan air sungai dapat mengalir dengan lancar.

“Keprihatinan Menteri Besar memantau kampung ini walaupun kawasan kampung ini bukan di bawah naungan kerajaan telah mengubah nasib penduduk setempat yang sebelum ini banyak kehilangan dan kerosakan harta benda.

“Malah beliau telah memperuntukkan kewangan kerajaan negeri untuk membina dua kolam tangkungan bagi menampung air hujan dari melimpah ke sungai,” katanya.