Halaman

01 October 2011

Pegawai Khidmat Pelanggan di setiap Balai Polis

Oleh: Esah Abdullah

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu akan menempatkan Pegawai Khidmat Pelanggan di setiap balai polis bagi meningkatkan perkhidmatannya dalam usaha membantu masyarakat menyelesaikan pelbagai masalah.

Ketua Polis Terengganu, SAC Dato’ Jamshah Mustafa berkata, beberapa balai terpilih akan mendapat khidmat pegawai berkenaan terutama kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

“Pihak polis berusaha tingkatkan mutu perkhidmatannya terhadap masyarakat secara agresif yang dilakukan secara berperingkat,” katanya kepada pemberita di majlis Ramah Mesra Aidilfitri Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Terengganu bersama masyarakat setempat, di Balai Polis Gong Badak hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri merangkap Pengerusi MCPF Terengganu, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Katanya, untuk meningkatkan perkhidmatan, sistem nombor giliran akan dilaksanakan agar masyarakat mendapat layanan yang setimpal dan pemeriksaan keberkesanan sistem berkenaan akan dibuat sepanjang masa.

“Orang ramai juga boleh membuat laporan kejadian jenayah atau kemalangan di mana-mana balai berhampiran serta salinan report juga boleh didapati pada hari yang sama,” katanya.

Katanya, pihak Universiti Malaysia Terenggnu (UMT) bersetuju untuk bekerjasama menjalankan kajian mengenai kejadian jenayah di negeri ini dan hasil kajian itu nanti akan digunakan bagi menyelesaikan gejala sosial yang berlaku dengan lebih cepat.

Menurut Dato’ Jamshah, kesedaran di kalangan masyarakat dalam menjaga harta diri seperti tidak mempamerkan atau meninggalkan barang berharga dalam kereta dan sebagainya mampu mengelak jenayah sosial terjadi.

“Kita mahu masyarakat tahu peranan mereka sebenarnya boleh membantu mengurangkan kadar jenayah yang berleluasa ketika ini,” katanya.

Katanya, dengan adanya MCPF, peluang masyarakat untuk menyalurkan maklumat lebih terbuka dan cepat kerana turut ditubuhkan kelab MCPF di sekolah-sekolah.

Keanggotaan rakan cop juga akan ditambah dari semasa kesemasa bagi membantu pihak polis membanteras kejadian jenayah.

Setakat ini, kadar jenayah pecah rumah dan curi motosikal di negeri ini telah turun sebanyak 8.9 peratus dan percaya statistik ini boleh dikurangkan lagi jika masyarakat bekerjasama dengan pasukan polis.