Halaman

11 October 2011

Penjawat awam perlu tekun dan berhemah

Oleh; Esah Abdullah

“Kejayaan sesebuah kerajaan terletak pada khidmat dan tindakan yang dilakukan oleh penjawat awam,” kata Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Katanya, penjawat awam merupakan sebahagian daripada jentera kerajaan bagi menguruskan pentadbiran dan berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dengan orang awam.


“Justeru itu, laksanakan tugas yang diamanahkan dengan tekun dan berhemah serta sentiasa berpaksikan kepada gagasan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’,” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan meraikan persaraan pegawai Yayasan Terengganu (YT) di Primula Beach Resort semalam.

Katanya, bersandarkan lapan nilai teras iaitu budaya ilmu,cemerlang, cakna, amanah, setia, muafakat, bersyukur dan istiqamah, hubungan kerajaan dan orang awam dapat dipertingkatkan lagi.

Selain itu, penjawat awam juga tidak menangguh kerja, bertindak cepat dan tepat, berdisiplin serta memanfaatkan ilmu pengetahuan yang ada dan sedia berubah ke arah kebaikan.

Setiap tahun, kerajaan memberi insentif kepada penjawat awam yang cemerlang, hadiah berupa wang tunai dan pakej haji atau umrah sebagai galakan dan penghargaan termasuk menghasilkan produktiviti yang baik kepada jabatan masing-masing.


Dalam majlis itu seramai 28 kakitangan YT terpilih menerima APC, 11 penerima insentif lama berkhidmat (melebihi 20 tahun) dan turut diraikan empat pegawai yang bersara wajib termasuk bekas pengarahnya, Haji Aziz Mamat.

Penerima APC membawa pulang wang tunai RM1,000 seorang beserta sijil penghargaan manakala insentif lama berkhidmat menerima Sijil Simpanan Premium bernilai RM1,000 beserta sijil.