Halaman

27 October 2011

Pentadbiran tanah gerbang transformasi negara

Oleh; Esah Abdullah

Sistem pentadbiran tanah sentiasa mengalami proses evolusi selaras dengan tuntutan pengguna, peredaran masa sesuai dengan kepesatan teknologi dalam era globalisasi yang semakin berkembang sekarang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sistem penyampaian tidak akan berjaya seandainya cara kerja masih berada di takuk lama.

“Saya menyeru kepada penjawat awam di pejabat tanah seluruh negeri agar melakukan perubahan sikap dan cara kerja,” katanya dalam teks ucapan pada Seminar Pentadbiran Tanah; Gerbang Transformasi Ekonomi Negara di Primula Beach Resort hari ini.



Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, YB Haji Ramlan Ali.

Hadir sama, Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Dato’ Haji Azemi Kasim; Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Haji Alias Nik dan dan Pengerusi Koperasi Pengurusan Tanah Malaysia Berhad, Dato’ Haji Yidris Abdullah.

Menteri Besar berkata, faktor utama yang akan menentukan kejayaan dalam melaksanakan transformasi ialah kesediaan penjawat awam mengubah minda dan cara bekerja iaitu berfikir dan bekerja di luar kotak kebiasaan.

“Arus globalisasi menjadikan pentadbiran tanah lebih terdedah kepada cabaran persaingan global dan menuntut kepekaan serta bersiap siaga dengan menyediakan perkhidmatan yang berprestasi tinggi dan kompetitif,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya mengucapkan tahniah kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu kerana telah mempelopori pelbagai aplikasi sistem berteraskan ICT secara dalam talian dalam urusan pentadbiran tanah.

Sebagai contoh katanya, penggunaan sistem e-Convert untuk proses tukar syarat; e-Consent untuk proses pindahmilik dan gadaian serta e-Mohon untuk proses permohonan tanah.

“Penggunaan sistem ini telah mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan menjadi johan dalam Pertandingan Persekitaran Berkualiti (QE) dan Amalan 5S anjuran Malaysia Produktiviti Corporation (MPC) pada 20 Oktober 2011 kategori kerajaan negeri,” katanya.

Katanya, PTG telah membuktikan ia sebuah organisasi yang dinamik dan boleh menjadi ikutan serta pemangkin kepada Pejabat tanah seluruh negeri.



Seminar yang berlangsung sehari anjuran bersama Koperasi Pengurusan Tanah Malaysia Berhad dan Kelab Sukan dan Kebajikan PTG ini disertai 300 penjawat awam dan swasta seluruh negara antaranya Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah, Selangor, Pahang, Johor, Perak, Melaka dan Kedah.