Halaman

25 October 2011

Piala Malaysia – Pengusaha bas ‘cekik darah’

Oleh FAUZI MOHD

KELAB Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) kecewa dengan sikap beberapa pengusaha bas di negeri ini yang mengambil kesempatan menaikkan kadar sewa bas sehingga sekali ganda menjelang aksi akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Jurucakap Peteh, Wan Mohd. Rahim Wan Salleh berkata, tindakan sedemikian boleh mematikan keghairahan peminat bola sepak negeri ini yang berdepan bukan sahaja harga tiket yang mahal, malah perlu menanggung kos pengangkutan yang melambung.

Katanya, kelab itu memohon campur tangan pihak bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) bagi menyiasat rungutan berkenaan dan dalam masa yang sama merayu agar pihak pengusaha bas lebih bertimbang rasa.

“Sebelum ini, kadar sewa semasa kira-kira RM2,000 untuk sebuah bas, lepas itu naik kepada RM3,000 dan kini mencecah sehingga RM4,000.

“Kita bimbang, semangat penyokong akan kendur menjelang Sabtu ini dan sudah pasti ramai yang hampa kerana tidak berpeluang untuk beri sokongan kepada pasukan kesayangan mereka di Shah Alam disebabkan kos makin mahal,” katanya di sini hari ini.

Tambah Wan Mohd. Rahim, walaupun masa sudah singkat, pihaknya masih mengharapkan ada perkembangan positif berkaitan perkara itu.

“Bukan selalu peristiwa ini datang. Kita tidak mahu, perlawanan bola sepak menjadi satu perkara ‘mahal’ kepada rakyat kerana mereka hanya mahu melihat jaguh mereka bermain dan memberi sokongan,” katanya.

Sementara itu katanya, Peteh akan menyediakan 10 buah bas untuk membawa rombongan ke perlawanan berkenaan dan akan berusaha untuk mendapatkan kadar sewa bas yang terbaik untuk penyokong skuad Penyu.