Halaman

25 October 2011

Produk Kedai Rakyat 1Malaysia di T-Shoppe

Oleh FAUZI MOHD

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah bersetuju untuk menempatkan produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di rangkaian kedai serbaneka 24 jam, T-Shoppe.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato' Mohamed Awang Tera berkata, dengan kerjasama Mydin Holding sekalu pembekal 250 jenis produk di KR1M, ia bermula hujung tahun ini.

"Kedai Rakyat 1Malaysia tetap akan dibuka di Terengganu tetapi jumlahnya tidak banyak kerana 14 buah T-Shoppe di seluruh negeri telah membawa jenama produk kedai itu kepada pengguna.

"Ia projek serampang dua mata, di samping mahu menarik lebih ramai pengunjung ke T-Shoppe, produk KR1M yang lebih murah dan berkualiti itu boleh didapati di premis 24 jam kecuali cawangan baru di Universiti Malaysia Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kedai Harga Patut 2011 Zon Timur di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Terengganu petang semalam.

Projek KR1M yang dipantau dan diuruskan KPDNKK itu menjual barangan seperti beras, minyak masak, susu tepung dan lampin yang dipak menggunakan logo 1Malaysia.

Sementara itu, sebanyak 139 buah kedai dari tiga negeri, Terengganu, Pahang dan Kelantan telah berjaya dipilih sebagai Kedai Harga Patut melalui Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar).

Program Tukar diperkenalkan oleh KPDNKK selepas mendengar luahan hati serta masalah yang dihadapi peniaga kedai runcit yang sukar bersaing dengan pasar raya.

Sebanyak 600 kedai runcit tradisional di negara ini dimodenkan menerusi kerjasama kerajaan dengan pasar raya atau outlet terpilih seperti Tesco, Carrefour, Mydin, AEON, Giant dan Econsave.

Daripada jumlah berkenaan kata Dato' Mohamed, 49 buah kedai di Terengganu berjaya menerima status Kedai Harga Patut dan 27 buah daripadanya adalah kedai runcit.

Katanya, T-Shoppe dalam masa sama telah dilantik sebagai perunding Tukar di negeri ini oleh KPDNKK yang berperanan untuk memodenkan operasi kedai runcit tradisional dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif.

"Peniaga kedai runcit ini telah dan akan dibantu dari segi reka bentuk kedai yang menarik, amalan pengurusan yang cekap dan selamat serta aplikasi sepenuhnya sistem maklumat dalam operasi perniagaan.

"Sebagai mentor, T-Shoppe diamanahkan untuk membimbing pengusaha yang disasarkan supaya operasi kedai runcit mereka menjadi lebih berdaya maju dengan identiti tersendiri," katanya.

Dalam pada itu katanya, Terengganu mensasarkan 60 buah kedai runcit berjaya dipilih sebagai Kedai Harga Patut pada tahun ini dan setiap peruncit diberi pinjaman mudah RM60,000 daripada Bank Rakyat untuk program berkenaan.