Halaman

10 October 2011

UMT mohon tanah bina pelabuhan pengajaran

Oleh FAUZI MOHD

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) akan memohon daripada kerajaan negeri kawasan seluas kira-kira 12 hektar untuk membina sebuah pelabuhan pengajaran bagi program-programnya.

Naib Censelornya, Prof. Dato’ Dr Aziz Deraman berkata, tapak pelabuhan itu hendaklah terletak di sekitar Pulau Duyong atau Seberang Takir kerana kapal-kapal UMT tidak boleh masuk jauh ke dalam muara Sungai Terengganu.

Beliau berkata, apabila rancangan itu berjaya direalisasikan, pelabuhan berkenaan bukan sahaja akan memberi manfaat kepada UMT tetapi juga kepada kerajaan negeri dan penduduk negeri itu.

"Kita akan sampaikan cadangan kita ini kepada kerajaan negeri sebelum akhir tahun ini," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Selain itu, Dato’ Dr. Aziz berkata, UMT bercadang untuk mewujudkan satu kawasan industri hiliran untuk pelajar-pelajar UMT dalam kawasan pelabuhan pengajaran itu.

Secara tidak langsung katanya, langkah itu akan membantu meningkatkan aspek-aspek keusahawanan di kalangan rakyat tempatan.