Halaman

19 November 2011

Prasarana sekolah luar bandar setaraf dengan pencapaiannya

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri bercadang untuk menaik taraf kemudahan prasarana sekolah luar bandar dalam usaha merapatkan jurang dengan sekolah bandar bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB. Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kecemerlangan yang ditunjukkan sekolah luar bandar dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Khamis lalu.

Katanya, peningkatan kecemerlangan pelajar sekolah di luar bandar itu amat membanggakan dan tumpuan lebih terperinci wajar diberikan memandangkan mereka telah membuktikan berpotensi tinggi untuk berjaya dalam pelajaran.

"Semasa keputusan UPSR baru-baru ini kita dapati ada beberapa sekolah luar bandar menunjukan potgensi yang lebih baik berbanding sekolah bandar, terutamanya Sekolah Kebangaan (SK) Kampung Dusun dan SK Kampung Tok Dor di Hulu Terengganu.

"Keputusan ini amat membanggakan kita, malah SK Kampung Dusun diiktiraf sekolah terbaik walaupun berada di kawasan luar bandar sehingga berjaya melayakkan Terengganu kekal sebagai negeri terbaik UPSR untuk kali ke-11," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum merasmikan Majlis Konvoksyen Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) 2011 yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Presiden PSSCM, Dato' Maideen Kadir Shah, Ketua Pusat Ko-Kurikulum UMT, Awang Koding dan Presiden PSSCM UMT, Wan Nasruddin Abdullah.

Seramai 700 peserta menyertai konvoksyen itu dan 135 daripadanya menerima sijil setelah lulus dalam Ujian Sijil Rendah Seni Silat Cekak Malaysia. Untuk rekod sehingga kini PSSCM mempunyai seramai 10,000 ahli yang berdaftar.

Tambah Ahmad Razif, pihaknya akan mengenalpasti kekurangan dan kemudahan yang perlu diberi keutamaan di sekolah berkenaan dan sekiranya perlu menambah bilangan guru, keperluan itu akan diusahakan.

Katanya, sekiranya diberi bantuan dan perhatian sekolah luar bandar ini boleh menghasilkan kejayaan dan pihaknya sedar kemudahan yang ada di sekolah terbabit amat berbeza jika dibandingkan dengan sekolah di kawasan bandar.

"Justeru, Kerajaan negeri akan terus menyalurkan bantuan kepada Jabatan Pelajaran Negeri terutamanya dalam aspek kewangan untuk terus mengekalkan prestasi dan kecemerlangan sekolah luar bandar," katanya.