Halaman

13 November 2011

'Amy Semerah Padi', 'Johan Super Aid Malaysia' dan 'Idie Selendang Kuning' bakal hangatkan Karnival Monsun

Oleh FAUZI MOHD

Buat pertama kalinya, sukan tradisional masyarakat Thailand, Muay Thai menjadi antara menarik sempena Karnival Monsun di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa pada 22 hingga 27 November ini.

Setiausaha Persatuan Tomoi Daerah Besut, Mustafa Mazri berkata, persatuan itu amat teruja Muay Thai akan dibawa ke Piala Monsun tahun ini kerana sukan tersebut amat mencabar dan memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk mencapai kemenangan.

Menurutnya, antara nama-nama besar yang mengambil bahagian dalam pertandingan Muay Thai Gred 3 itu 'Amy Semerah padi', 'Johan Super Aid Malaysia' dan 'Idie Selendang Kuning' yang cukup dikenali di Terengganu, mahupun antarabangsa.

Memberi cabaran sengit katanya, Mohd. Ali Yaakob, 23, yang bermula dengan persatuan itu kini telah meningkat ke tahap antarabangsa, menjadi antara 10 terbaik dunia dalam kategori 45 kilogram setelah memenangi pertandingan sukan itu diThailand dan Iran

“Mohd. Ali dijangka memberi saingan sengit kepada peninju nombor satu Thailand, Wan Chai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Persatuan itu ditubuhkan pada bulan Ogos 2010 di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan dan pesat berkembang dengan keahlian seramai 150 orang yang berusia 30 tahun ke bawah yang mendapat didikan 15 jurulatih sepenuh masa.

Apabila ditanya mengenai persiapan untuk pertandingan di Karnival Monsun, Mazri berkata, persatuan itu telah membawa dua jurulatih pakar dari Kelantan bagi melatih peninju kumpulan itu.

“Latihan intensif selama dua minggu sudah pasti akan maningkatkan mutu dan prestasi peninju. Orang ramai sudah pasti akan terhibur.,” ujarnya.

Antara aktiviti-aktiviti lain yang akan berlangsung dalam tempoh itu termasuk pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, sukaneka, pertandingan kuiz, permainan tradisional dan pertandingan karaoke ‘Monsun Idol 2011’.

Aktiviti baru yang turut diperkenalkan tahun ini ialah aktiviti belayar, termasuk demonstrasi belayar dan berkayak dan orang ramai dipelawa mencuba aktiviti berkenaan dengan penyeliaan kakitangan profesional.