Halaman

14 November 2011

Elak guna air sungai dan bukit

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Penduduk di negeri ini, khususnya mereka yang tinggal berhampiran sungai dinasihatkan agar tidak menggunakan air sungai dan bukit untuk kegunaan harian kerana sumber air berkenaan dikhuatiri tercemar dengan virus yang menyebabkan penyakit Hepatitis A.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sehingga ini lebih 30 penduduk di kawasan Hulu Terengganu disahkan menghidap penyakit tersebut dan kini dirawat di Hospital Hulu Terengganu.

“Setakat ini Jabatan Kesihatan Negeri mengenal pasti air sungai di empat buah kampung di daerah Hulu Terengganu telah tercemar dengan virus yang menyebabkan penyakit Hepatatis A,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa yang dirawat di hospital berkenaan, petang semalam.

Empat buah kampung berkenaan ialah Sungai Berua, Padang Setebu, Basung dan Pasir Dula di mana sebahagian penduduk, terutama Orang Asli di Sungai Berua menggunakan air sungai bagi kegunaan harian.

Mangsa berkenaan dimasukkan ke hospital itu secara berperingkat-peringkat sejak empat hari lalu, selepas mengalami simpton yang dipercayai menghidap penyakit Hepatatis A.

Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan mereka masih menerima rawatan lanjut daripada pihak hospital.

Menteri Besar berkata, Jabatan kesihatan Negeri memantau perkembangan penyakit tersebut secara lebih serius bagi mengelakkan ia menular ke kawasan lain.

“Saya harap penduduk kampung gunakan air paip yang dibekalkan oleh SATU kerana ia lebih selamat berbanding menggunakan air sungai dan air bukit,” katanya.



Beliau juga meminta orang ramai supaya mendapatkan rawatan segera di hospital jika mereka mengalami demam panas, muntah-muntah dan tidak ada selera makan.