Halaman

09 November 2011

Foundation 36 uji enam pasukan dalam Piala Motour

Oleh FAUZI MOHD

Piala Monsun hanya beberapa minggu lagi dan persiapan sedang dijalankan untuk menobat Juara Dunia Match Racing ISAF pada acara terakhir musim Siri Jelajah Dunia Match Racing pada 22 hingga 27 November ini di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa.

Jauh dari kejohanan dunia, terdapat satu lagi piala yang menanti juara tempatan.

Piala Motour Tourism merupakan regata pelayaran yang dianjurkan khas untuk mereka yang terbabit di dalam industri pelancongan di Terengganu.

Pejabat Kementerian Pelancongan Terengganu bekerjasama dengan T-best Events, penganjur Piala Monsun untuk memberi mereka peluang untuk belayar di atas Foundation 36, kapal layar yang digunakan dalam acara utama.

Tahun lepas, pasukan Pejabat Kementerian Pelancongan Terengganu berjaya merebut gelaran juara.

Timbalan Pengarahnya, Mazshida Ruslal berkata: “Kini adalah masanya untuk mempertahankan gelaran kami sebagai raja pelayaran di Pulau Duyong, akan tetapi kami juga bimbang dengan pasukan Persatuan Hotel Malaysia.

“Mereka mempunyai dua pasukan iaitu Hotel Permai dan Ri-Yaz yang telah bersaing dalam Kejohanan Match Racing Malaysia baru-baru ini. Sudah tentu persiapan dan prestasi mereka lebih baik daripada kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak 6 pasukan akan mengambil bahagian dalam perlumbaan ini pada 19 November ini.

Antara pasukan yang mengambil bahagian adalah Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MBHA), Persatuan Ejen Pelancongan dan Tour Malaysia (Matta), Terengganu Tourism Association (TTA), Terengganu Travel Guides Association (TTGA) dan Tourism Malaysia.

“Kemungkinan, terdapat juga satu pasukan dari Kelab Wartawan Terengganu dan kami menjangkakan setiap pasukan akan memberi saingan yang hebat untuk merampas gelaran itu daripada kami.

“Pertandingan ini sangat penting bagi mereka yang terbabit di dalam industri pelancongan kerana kami perlu memahami mengenai pelayaran untuk menjual dan mempromosi dengan lebih baik sukan dan acara Piala Monsun kepada pelancong,” tambahnya.

Mazshida berkata, Piala Monsun telah menjadi salah satu produk pelancongan yang paling penting untuk Terengganu sejak penganjurannya pada tahun 2005.

“Kami perlu membiasakan diri dengan produk jika ingin menjual kepada pelawat yang berpotensi dan tidak ada cara yang lebih baik untuk belajar mengenai Piala Monsun daripada keluar belayar dan berlumba dengan kapal Foundation 36,” jelasnya.