Halaman

20 November 2011

JKKK perlu menyediakan pelan kawasan kampung

Oleh: Mohammad Ishak












Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu menyediakan pelan kawasan pentadbiran sendiri bagi memudah sesuatu tindakan diambil untuk melaksanakan pelbagai pembangunan di kampung terbabit.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, penyediaan pelan kampung amat perlu kepada semua JKKK supaya proses menyusun sesuatu projek pembangunan dapat dilaksanakan secara kemas dan tersusun.

Katanya, agak jarang JKKK daerah ini yang mampu menyediakan pelan berkenaan dan mereka sepatutnya menyediakan kemudahan itu disetiap organisasi terbabit.

Beliau berkata demikian ketika menutup Kursus Jati Diri dan Kepimpinan Pengerusi-Pengerusi JKKK kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, di Kuala Lumpur International Hotel semalam.

Kursus tiga hari anjuran Pejabat Daerah Besut (PDB) dengan kerjasama Fieyna Traning Centre disertai oleh 30 Pengerusi JKKK kawasan berkenaan.

A Rahim berkata, kursus bertujuan melengkapkan pengetahuan selok belok menjadi pemimpin kepada pengerusi organisasi itu bagi mempastikan jentera JKKK daerah itu dapat berfungsi dengan baik dan berkesaan untuk pembangunan setempat.

Selain itu,katanya, kursus itu juga untuk melahirkan golongan pemimpin yang berwibawa dan mampu merancang pelbagai aktiviti dan pembangunan untuk faedah penduduk setempat.

Beliau berkata, pihaknya bangga kerana Besut dapat menonjolkan sebuah JKKK paling berjaya di negeri ini apabila JKKK Gong Gucil menjadi model kepada jentera pentadbiran JKKK di Terengganu.