Halaman

28 November 2011

Kanak-kanak terhibur dengan gelagat maskot upin-ipin


Oleh: Suriati Ali

Ribuan pengunjung terutama kanak-kanak yang hadir di Kejohanan Piala Monsun, Pulau Duyong bukan saja teruja melihat aksi dua pelayar mara ke peringkat akhir dalam pertandingan itu, malah turut terhibur dengan gelagat beberapa maskot rancangan Upin Ipin yang membuat persembahan pentas.

Rata-rata kanak-kanak tidak mahu berganjak dari lokasi Karnival Upin-Ipin kerana tertarik dengan gelagat maskot Upin, Ipin, Memey, Mail, Fizi, Kak Ros dan Jarjit.
Program lain, termasuk jualan alat tulis, sesi fotografi dan bermesra dengan maskot rancangan itu turut diadakan bagi memeriahkan kejohanan yang diadakan bermula 22 November lalu.


Karnival selama dua hari dan berakhir semalam itu (27 November) nyata mendapat sambutan di luar jangkaan.
Seorang pengunjung, Puan Latifah Solehin, 36, dari Marang, berkata tiga anaknya nyata terhibur dengan gelagat maskot sehingga tidak mahu pulang walaupun sudah hampir dua jam berada di karnival itu.

“Pendekatan pihak penganjur mengadakan program seumpamanya ini wajar diteruskan kerana secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai pengunjung datang menyaksikan Kejohanan Piala Monsun,” katanya ketika di temui di karnival itu, semalam.

Pengunjung dari Setiu, Encik Rohaimi Mansor, 40, berkata dia tidak mahu datang pada awalnya kerana menganggap cuaca hari ini kurang elok, tetapi selepas beberapa kali didesak oleh dua anak dan melihat keadaan cuaca cerah, akhirnya sampai jua kami anak beranak di karnival itu.

“Kehadiran kami sekeluarga nyata berbaloi kerana pelbagai program boleh diikuti walaupun hampir sejam menunggu bagi mendapatkan tempat letak kereta.

“Saya dan isteri nyata gembira melihat gelagat dua anak kami yang tidak lekang dengan senyuman kerana terhibur dengan gelagat beberapa maskot Upin-Ipin,” katanya.