Halaman

27 November 2011

Karnival Upin dan Ipin meriahkan Piala Monsun



Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kejohanan Piala Monsun di Pulau Duyong turut dimeriahkan dengan Karnival Upin dan Ipin yang diadakan khusus bagi menarik minat pengunjung, khususnya di kalangan kanak-kanak.

Kebanyakan ibu bapa turut berkunjung di Pulau Duyong petang semalam bagi membolehkan anak-anak mereka beramah mesra dengan ikon kanak-kanak, Upin dan Ipin, pada karnival tersebut.

Pelbagai acara diadakan pada karnival tersebut yang berlangsung selama dua hari mulai semalam, bagi memeriahkan acara Piala Monsun yang bermula sejak 22 November lalu.

Antara acara Karnival Upin dan Upin yang menarik perhatian orang ramai, khususnya kanak-kanak ialah fotografi dengan Upin dan Ipin.

Kanak-kanak yang meminati rancangan Upin dan Ipin tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan ikon kesayangan mereka, bersama keluarga masing-masing.


Tinjauan Teganukita mendapati jalan masuk ke Pulau Duyong sesak petang semalam dan hari sebelumnya di mana orang ramai mengambil peluang cuti hujung minggu untuk menyaksikan kejohanan Piala Monsun.

Sebahagian besar daripada pengunjung terdiri daripada pelawat luar Terengganu yang turut melawat Terengganu sempena cuti sekolah dan cuti panjang Maal Hijrah.