Halaman

04 November 2011

Kenaikan harga barang tidak kena mengena dengan BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Penduduk tempatan tidak wajar menyalahkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) berhubung kenaikan harga barang-barang, termasuk bekalan keperluan harian seperti ikan, ayam dan sayuran-sayuran.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Kazan Che Mat, berkata sudah menjadi tradisi pihak pembangkang menunding jari kepada kerajaan BN setiap kali berlaku kenaikan harga barang-barang.

“Malah, mereka memburuk-burukkan kerajaan dan menghasut rakyat supaya menyalahkan kerajaan dalam isu kenaikan harga barang.

“Lebih buruk lagi mereka menterjemahkan BN (Barisan Nasional) dengan Barang Naik,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, rakyat perlu rasional berhubung isu tersebut kerana kenaikan harga barang-barang bergantung kepada faktor permintaan dan bekalan semasa barang-barang keperluan.

Katanya, rakyat tidak wajar membezakan harga barang dulu dengan sekarang kerana keadaan sudah jauh berubah di mana pendapatan penduduk kini semakin tinggi berbanding dengan zaman dahulu.

“Memang kita tidak menafikan harga barang sekarang ini lebih mahal berbanding masa lalu, tetapi jika diteliti rakyat masih mampu membeli pelbagai barangan keperluan walaupun harganya naik.

“Ini kerana walaupun harga barang naik, tetapi pendapatan mereka juga meningkat kerana usaha kerajaan menaikkan taraf hidup dan pendapatan rakyat,” katanya.

YB Kazan berkata, pemimpin BN bertanggungjawab menaikkan pendapatan penduduk kampung dengan cara menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka berbiaga dan bercucuk tanam.

“Rakyat perlu bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang berjaya meningkatkan taraf hidup mereka dan memberi peluang kepada generasi baru untuk mendapat pendidikan tinggi, sekaligus membantu meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.