Halaman

24 November 2011

Kolej Teknologi Bestari kini Universiti College Bestari


Oleh; Esah Abdullah

Kolej Teknologi Bestari (KTB) di Setiu kini dinaikkan taraf kepada sebuah universiti dan dikenali sebagai Universiti College Bestari (UCB) setelah menerima surat kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi pada awal bulan lalu.

Pengerusi Lembaga Pengarah UCB, Dato’ Dr Tengku Mahmud Mansor berkata, usaha untuk menaikkan taraf KTB yang beroperasi pada tahun 1998 telah lama diusahakan.

Katanya, dengan kelulusan itu, UCB akan membuka beberapa pusat pengajian di lima negeri melibatkan di Kuala Terengganu, Kuala Lumpur, Kota Bharu dan Kedah pada tahun depan.

``Kita juga merancang untuk membuka sekurang-kurangnya sebuah pusat pengajian di setiap negeri termasuk Sabah untuk memberi peluang lebih ramai pelajar mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Kursus Pelapis Imam & Bilal, Warden & Penyelia Asrama Dan Pengurusan Dewan Makan & Penyediaan Makanan Asrama Gabungan Peyatim di Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) Pulau Kerengga, Marang semalam.

Sehubungan itu, UCB akan menambah kursus-kursus pengajian diperingkat ijazah, ijazah lanjutan dan doktor falsafah serta pengambilan pelajar juga akan ditingkatkan kepada 2,000 orang pada pengambilan sesi tahun depan.

Tambahnya, pada masa ini kira-kira 1,500 pelajar sedang mengikuti sembilan program pengajian antaranya Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Pengajian Teknologi Maklumat dan Diploma Keusahawan,

Selain itu turut mengadakan kerjasama dengan beberapa universiti termasuk Universiti Putra Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Kebangsaan Malaysia.