Halaman

05 November 2011

Kouta rumah untuk golongan muda

Oleh: Suriati Ali

Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan negeri menetapkan kuota 20 peratus kepada golongan muda untuk membeli rumah di bawah program Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri ini.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Encik Saiful Bahri Baharuddin berkata, soal itu perlu dipertimbangkan sebagai satu inisiatif kerajaan kepada golongan berkenaan di negeri ini yang kebanyakannya masih tidak mempunyai rumah sendiri.

Menurut beliau, kajian pihaknya mendapati ketiadaan kuota berkenaan akan menyulitkan mereka memiliki rumah kerana terikat dengan pertimbangan lain ketika proses permohonan dikemukakan.

"Selalunya, orang yang mempunyai keluarga besar atau seumpamanya diberikan keutamaan sedangkan masih ramai anak muda kita yang belum mempunyai rumah dan nasib mereka wajar dibela.

"Oleh sebab itu, saya cadangkan agar kuota 20 peratus ini dipertimbangkan kerajaan negeri bagi membolehkan golongan berkenaan lebih mudah memiliki rumah," katanya.
Untuk rekod, sebanyak 6,737 unit rumah RMM sedang dibina di seluruh Terengganu, melibatkan 23 projek pembinaan.

Kerajaan negeri merancang untuk membina 12,639 unit rumah RMM di seluruh negeri dengan ketua isi rumah yang berpendapatan tidak melebihi RM2,500 sebulan layak memohon.

Encik Saiful menjelaskan, beliau telah menerima banyak aduan daripada golongan muda yang menyatakan bahawa mereka terlalu sukar untuk mendapat kemudahan membeli rumah berkenaan.

"Masalahnya, mereka terpaksa bersaing dan sebab itulah saya katakan bahawa perlunya kuota bagi mereka," katanya.

Serentak dengan itu juga katanya, kerajaan negeri harus mempertimbangkan untuk menaikkan syarat layak memohon daripada pendapatan ketua keluarga bawah RM2,500 sebulan kepada RM3,000 sebulan.

Dalam pada itu, beliau juga mahukan kerajaan negeri melobi Kerajaan Pusat agar membangunkan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) yang memberi fokus kepada golongan berpendapatan sederhana di negeri ini.

"Terengganu masih mempunyai tanah yang strategik untuk dimajukan dengan projek PRIMA dan berikutan ramai rakyat yang belum memiliki rumah sendiri, maka ia wajar juga diperluaskan ke negeri ini,'' ujarnya.