Halaman

13 November 2011

MAS penerbangan rasmi Piala Monsun 2011

Oleh FAUZI MOHD

Malaysia Airlines (MAS) semalam diumumkan sebagai syarikat penerbangan rasmi untuk Piala Monsun, yang merupakan acara kemuncak dalam Siri Jelajah Match Racing Dunia (WMRT) yang berlangsung di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu, minggu depan.

Naib Presiden Kanan Jabatan Jualan Malaysia MAS, Azman Ahmad berkata, ia adalah satu penghormatan buat mereka kerana terlibat dalam Piala Monsun, yang merupakan perlumbaan regata antarabangsa yang telah menarik penyertaan ramai pelayar handalan dunia.

"Saya pasti acara tahun ini akan lebih menarik berbanding tahun lepas dan kita boleh menjangkakan satu lagi perlumbaan mendebarkan dari awal hingga penamat. Kami gembira menjadi sebahagian daripada kerjasama dan perkongsian strategik ini dengan T-Best Events, penganjur Piala Monsun.

" Matlamat kami adalah untuk memanfaatkan inisiatif ini dan memastikan peningkatan jenama kami dalam pasaran perjalanan udara korporat," kata Azman dalam satu kenyataan di sini semalam.

Azman turut menambah, ini juga merupakan sebahagian daripada sumbangan MAS ke arah Program Transformasi Ekonomi Malaysia dan titik permulaan kepada sektor pelancongan, yang mensasarkan acara sukan antarabangsa untuk menarik pelancong.

"Penglibatan kami dalam sukan bereputasi tinggi seperti ini pasti dapat membantu mempromosikan Terengganu sebagai destinasi antarabangsa untuk sukan, perniagaan dan pelancongan, " katanya lagi.

Dalam perkongsian strategik ini sebagai pengangkutan rasmi, MAS menyediakan pengangkutan udara premium untuk pelayar, ahli jawatankuasa teknikal pertandingan, pengadil antarabangsa, dan ahli-ahli media yang terbang masuk dan keluar untuk kejohanan eksklusif ini.

MAS dan anak-anak syarikatnya merupakan penyokong konsisten dalam aktiviti-aktiviti pelancongan sukan di Malaysia dengan menjadi syarikat penerbangan rasmi untuk acara-acara seperti kejohanan Golf Terbuka Malaysia, Kejohanan Golf Antara Pasukan Amatur Dunia, Le Tour de Langkawi dan Asia Pasifik Klasik CIMB baru-baru ini.

Tahun lepas, Firefly, anak syarikat MAS adalah syarikat penerbangan rasmi untuk Piala Monsun.