Halaman

29 November 2011

Masyarakat alpa perlu berubah


Oleh: Suriati Ali

Masyarakat kini sebenarnya berada dalam keadaan alpa tentang tanggungjawab yang diamanahkan sedangkan wajib bagi seseorang itu saling mengingati dan sekaligus mengeratkan lagi hubungan sesama Islam.

Persefahaman di kalangan umat, perlu bagi membentuk jalinan semangat persaudaraan unggul dan mantap, yang menjadi asas dalam memperkasakan perpaduan ummah supaya lebih disegani dimata dunia.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata Islam membentuk umatnya supaya menjadi umat yang bersatu. Mereka bukan sahaja beriman dengan Tuhan yang satu tetapi juga berpegang dengan kiblat yang satu, melakukan ibadat yang satu, menghadap kiblat yang satu, mengikut manhaj atau method yang satu dan menuju kearah matlamat yang satu.

Katanya, pada masa sama, sebarang bentuk perpecahan adalah dilarang keras kerana ia merupakan langkah ke arah kelemahan dan kehancuran umat.

”Islam melarang umatnya membiarkan perselisihan pendapat, pandangan atau apa-apa keadaan yang akhirnya melemahkan negara, dan perkara ini turut ditekankan di dalam al-Quran. Islam mengajar kita bahawa setiap perselisihan pasti ada cara penyelesaiannya.

”Dalam negara berbilang bangsa di Malaysia, konsep 1Malaysia secara tidak langsung akan dapat mengekalkan sikap persefahaman dan toleransi yang tinggi sesama mereka,” katanya ketika berucap di majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Terengganu, di Stadiun Negeri, Kuala Terengganu, kelmarin.

Menurutnya, situasi ini seharusnya perlu dipertahankan dan terus dimantapkan agar sikap berkerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain dapat dikekalkan bagi membolehkan pembangunan dan kemajuan dilaksanakan.

“Selaras dengan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini “ Persefahaman Asas Perpaduan Ummah ” , kita semua hendaklah berubah ke arah pemikiran yang positif, terhadap program yang dilaksanakan kerajaan negeri ntuk membawa rakyat ke arah perubahan dinamik, selaras dengan hasrat kerajaan untuk “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.


“Namun begitu jika kita masih mempunyai sifat-sifat menolak dan tidak mengambil peluang dalam pembangunan yang sedang giat berkembang di Terengganu, kita akan kerugian,” katanya.

Islam tidak menyuruh umatnya untuk berdiam diri dalam menantikan sesuatu tanpa berusaha. Oleh itu, kita sebagai hambaNya digesa agar berusaha dengan bersungguh-sungguh merebut peluang yang disediakan pihak pemerintah.