Halaman

15 November 2011

Pembudayaan kebersihan diterap di sekolah

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Pelajaran Terengganu (JPN) membuat perubahan terhadap kaedah penghakiman Program Pendidikan Kebersihan Sekolah (PPKS) sepanjang tahun kerana elemen utama diberi perhatian adalah faktor pembudayaan kebersihan.



Timbalan Pengarah JPN, Encik Hashim Mat Zin berkata, semua sekolah diberi penekanan mengaplikasikan pendekatan lestari iaitu sentiasa pertama dan sentiasa teratas dalam merialisasikan keberhasilan setiap program.

“Kita yakin PPKS boleh berfungsi sebagai pemangkin, pelengkap dan pemantap kepada kecemerlangan pendidikan,” katanya di majlis penyampaian hadiah Pertandingan Kebersihan Kawasan Sekolah Peringkat Negeri Terengganu 2011 di Wisma Darul Iman semalam.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda telah merasmi majlis berkenaan. Hadir sama, Penolong Setiausaha Kerajaan (Pentadbiran dan Operasi) Kerajaan Tempatan, Encik Mohd Shahrir Ghani.

Katanya, hasil pemantauan kualiti kebersihan seluruh sekolah di negeri ini semakin meningkat dan ini membuktikan komitmen tinggi yang ditunjukkan semua warga pendidik dan pelajar dalam menjayakan PPKS.

Selain itu, mulai tahun ini program berkenaan telah diperluaskan kepada murid pendidikan khas melalui beberapa aktiviti seperti pertandingan mewarna dan melukis poster, menulis esei Braille, membaca petikan Braille dan pidato bahasa isyarat.

“JPN juga bercadang untuk melaksanakan pertandingan ini kepada pelajar di sekolah Orang Asli mulai tahun depan,” katanya.



Sehubungan itu, adik Nurul Shahida Zainal dari Sekolah Kebangsaaan Pendidikan Khas (SKPK) Bukit Besar muncul johan kategori membaca petikan Braille manakala adik Mohd Yunus Mohd Azam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar muncul johan bagi kategori sekolah menengah.



Kategori penulisan esei Braille dimenangi adik Nor Syuhada Alias dari SPBK, melukis poster kategori pelajar sindrom down dimenangi Mohd Arif Aiman dari SMK Tun Telanai, Marang dan peraduan mewarna (sindrom down) dimenangi adik Mohd. Hafizul Akil Zufri dari SK Bukit Payong, Marang.

Bagi pertandingan pidato bahasa isyarat pula dimenangi Nor Hayatul Akilah Abdul Wahab dari SMK Sura, Dungun.

Semua pemenang menerima hadiah berupa wang tunai RM250, plak dan sijil yang disampaikan oleh Dato’ Haji Wan Ahamad.