Halaman

04 November 2011

Program 'empower' ECER pertingkat sosio-ekonomi Kemaman

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELLA SABERI

Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah memperluaskan program 'empower', yang melibatkan Latihan Kemahiran Akademik dan Latihan Kemahiran Keusahawanan ke Kemaman, berikutan kejayaan projek perintis di Bentong, Pahang tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato' Jebasingam Issace John berkata, program itu bertujuan untuk meningkatkan pencapaian akademik di kalangan para pelajar serta peluang pekerjaan dan kebolehpasaran belia dan orang dewasa.

Katanya, sejumlah 921 penduduk tempatan dari empat Dewan Undangan Negeri(DUN) di daerah itu menerima manafaat daripada program berkenaan.

"Daripada jumlah itu, 421 peserta telah mendaftar bagi kursus-kursus Latihan Kemahiran Akademik yang membantu memperbaiki prestasi keputusan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tahun ini.

"10 buah sekolah terlibat dalam program latihan berkenaan iaitu SK Kampung Baru Kertih, SJK (C) Kuala Kemaman, SK Kijal, SK Ayer Putih, SK Jabor, SMK Badrul Alam Shah, SMK Chukai, SMK Kijal dan SMK Ayer Putih," katanya.



Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program itu di Dewan Sri Amar Diraja, Kemaman. Hadir merasmikan, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, Ahmad Razif Abd. Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato' Mohamed Awang Tera.

Tambah Dato' Jebasingam, 500 peserta terlibat dalam program Latihan Kemahiran Keusahawanan yang mengambil masa 15 bulan bermula Jun 2011 dengan tumpuan kepada penganggur, belia serta ibu tunggal di Kemaman.



Katanya, 80 peratus peserta mendapat pekerjaan daripada program itu.

"Kursus kemahiran yang sedang diajar di 'empower' Kemaman termasuk tatarias, pembuatan roti, jahitan, rekaan fesyen, dandangan rambut, pendawaian serta pemasangan paip," katanya.



Pada majlis itu, Dato' Seri Ahmad turut menyampaikan sijil penyertaan 'empower' kepada pengetua sekolah, penyedia latihan dan penyelaras program serta melawat ke pameran program itu.