Halaman

16 November 2011

Program Jom ke Masjid ajak belia dekati masjid

Oleh; Esah Abdullah

Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu (PADKT) laksana Program Jom Ke Masjid (PJKM) dalam usaha mengajak masyarakat mengimarahkan masjid dengan menyusun pelbagai aktiviti membabitkan golongan muda.

Penolong Pegawai PADKT (Bahagian Pengurusan Masjid), Puan Fazila Ishak berkata, peruntukan RM50,000 akan diagih-agihkan kepada masjid terpilih dalam daerah bagi melaksanakan program berkenaan.

“Masyarakat setempat bebas merancang aktiviti mengikut kesesuaian penduduk yang diwakili,” katanya kepada Teganukita ketika di temui dalam PJKM di Masjid Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Katanya, pelbagai aktiviti boleh dirancang oleh jawatankuasa masjid dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pelaksanaan aktiviti dalam kawasan masjid.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti pertandingan futsal, bola jaring untuk golongan belia, pertandingan azan, baca surah untuk pelajar berusia lapan tahun ke atas.

“Golongan suri rumah pula bergotong royong memasak nasi beserta lauk kemudian penduduk kampung beramai datang menjamu selera di masjid,” katanya.

Katanya, kemeriahan jelas terpancar dan jalinan kemesraan begitu ketara bila membabitkan semua lapisan masyarakat hadir memberi sokongan.

“Program yang julung kali diadakan ini berjaya memupuk semangat cintakan masjid di samping menimbulkan kesedaran masyarakat bahawa masjid juga boleh diimarahkan dengan pelbagai aktiviti di samping solat lima waktu,” katanya.