Halaman

15 November 2011

Pusat Dialisis NFK terima dua mesin baru

Oleh: Suriati Ali

Pusat Dialisis Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Terengganu, Kuala Terengganu, menerima sumbangan dua mesin dialisis bernilai RM90,000.

Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menyerahkan sumbangan itu kepada Pengurus pusat berkenaan, Chee Gaik Thee.
Menurut Wan Farid, beliau mengambil inisiatif memohon sumbangan daripada Yayasan SP Setia setelah melawat pusat berkenaan April lalu.

"Kakitangan di situ memaklumkan bahawa mereka memerlukan mesin (dialisis) baharu bagi menampung jumlah pesakit yang kian bertambah.

"Justeru, saya merujuk perkara itu kepada Tan Sri (Lee Lam Thye) dan beliau bersetuju menyumbang dua mesin dialisis baru untuk kegunaan pusat ini," katanya kepada pemberita.

Pusat Dialisis NKF Terengganu ditubuhkan pada 1997 dan mampu menampung kira-kira 50 pesakit sehari dengan 13 buah mesin lama.

Wan Farid berkata, pihaknya bersetuju untuk menyumbang RM10,000 untuk tempoh dua bulan bermula bulan ini bagi membantu pesakit yang tidak berkemampuan ketika mendapatkan rawatan berkenaan.

"Bukan semua pesakit mendapat pembiayaan penuh daripada kerajaan negeri dan syarikat tertentu. Ada juga terpaksa membayar sendiri.

"Kos yang perlu ditanggung jika sekali rawatan (dalam tempoh empat jam) mencecah sehingga RM150 untuk satu sesi dan rawatan itu pula perlu dijalankan sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu," katanya.