Halaman

03 November 2011

Risda sedia RM157 juta untuk BTSG

Oleh; Esah Abdullah

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menerima peruntukan besar iaitu RM157 juta bagi program Bantuan Tanam Semula Getah (BTSG) tahun depan.

Pengerusi Risda, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, peruntukan ini membabitkan kawasan 51,000 hektar seluruh negara termasuk 3,000 hektar kawasan tanaman baru.

“Turut menerima peruntukan ialah bagi tanaman kelapa sawit seluas 10,000 hektar,” katanya di majlis Penyampaian Sumbangan Pengerusi Risda kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan BTSG) di Akademik Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Marang semalam.

Hadir sama, , Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, YB Haji Alias Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda Encik Mohamad Muda dan Pengarah Risda Terengganu, Encik Zakaria Mat Zin.

Pada majlis berkenaan, 73 buah NGO seluruh negeri menerima bantuan sumbangan Pengerusi Risda berjumlah RM100,000.

“Sumbangan itu sebagai penghargaan kepada NGO yang berperanan mengikut pendekatan masing-masing bersama kerajaan kearah membentuk kesejahteraan masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Tambahnya, Risda sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dan memastikan setiap pelaburan yang dilakukan memberi manfaat kepada semua pihak terutama kalangan pekebun kecil.