Halaman

30 November 2011

Tandas bersih tingkat imej negeri

Oleh; Esah Abdullah

Masyarakat di negeri ini diminta sentiasa mementingkan kebersihan persekitaran bagi mengelak serangan penyakit berjangkit di samping menjaga imej negeri di mata umum.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Encik Ghani Idris berkata, orang ramai sering mengambil mudah serta menganggap menjaga kebersihan itu sesuatu perkara kecil dan remeh.

“ Contohnya isu kebersihan tandas awam yang perlu di pandang serius oleh semua golongan masyarakat kerana keadaan tandas di negeri ini berada pada tahap yang 'kurang memuaskan',” katanya.

Enci Ghani berkata demikian di Seminar Pengurusan dan
Pengauditan Tandas Awam anjuran MBKT, di Perbadanan Perpustakan Awam Terengganu (PPAT) semalam.

Seramai 150 peserta terdiri dari pengusaha kedai makan dan restoran, pengusaha tandas awam, pengusaha stesen minyak, wakil masjid-masjid dan agensi kerajaan menghadiri seminar sehari itu.

“Isu kebersihan tandas awam merupakan sesuatu yang serius dan seminar ini memberikan pendedahan kepada pengguna dan pengusaha mengenai kaedah penjagaan tandas awam yang betul,” katanya.

Menurutnya, isu kebersihan terutama tandas awam bukan perkara kecil kerana ia menjejas imej kerajaan di kalangan pelancong yang berkunjung ke negeri ini, sama ada pelancong tempatan mahupun luar negara.

Sehubungan itu katanya, dalam usaha memelihara kebersihan tandas awam, aspek budaya pengguna tandas awam merupakan faktor paling rumit untuk diubah dan ditangani.

Tambahnya, tandas yang baik, bukan hanya perlu bersih tetapi perlu di sediakan dengan peralatan yang lengkap dan tiada unsur vandalisme oleh mereka yang tidak bertanggungjawab..

Beliau menambah usaha berterusan juga akan dilakukan pihak berkuasa tempatan bagi mempertingkatkan tahap kebersihan tandas awam termasuk meletakkan kelas tertentu terhadap tandas awam sebagai dorongan menjadi lebih baik .