Halaman

20 November 2011

Tiga produk tempatan ke pasaran antarabangsa


Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan berusaha mengangkat tiga produk keluaran usahawan tempatan berasaskan makanan, kosmetik dan farmaseutikal untuk melangkah ke pasaran antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, setakat ini pasaran produk berkenaan sudah diterima baik di dalam negara.

“Untuk pasaran luar negara, produk-produk ini perlu diubahsuai mengikut cita rasa dan kehendak pengguna di luar negara,”katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Halal Malaysia di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Haji Azmi Razik; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Dato’ Hafsah Hashim dan Pengarah Urusan Strategik, Jabatan Standard Malaysia, Encik Rafik Bakri Zakaria.

Katanya, kerajaan turut merancang mengeluarkan lima produk baru setiap tahun untuk meningkatkan pendapatan di kalangan rakyat seterusnya dapat menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih baik.

“Sehingga ini kita berjaya memberi latihan dalam bidang usahawan kepada lebih 5,000 orang dan lebih 3,000 mengikuti pelbagai kursus keusahawanan di negeri ini,” katanya.

Menurutnya daripada jumlah berkenaan hanya 10 peratus telah berjaya mengenengahkan produk masing-masing dan kerajaan akan sentiasa memberi dorongan dan bantuan dari segi insentif kewangan, bimbingan dan peluang pasaran kepada pengusaha dan pengeluar yang berminat.

Tambahnya, moga seminar yang julung kali diadakan ini dapat membantu membangunkan industri halal di negeri ini dan berharap produk makanan yang dikeluarkan oleh pengusaha tempatan dapat memenuhi standard dan piawaian halal diperingkat antarabangsa.

Dato’ Haji Mohamed kemudiannya menyaksikan penyerahan zakat perniagaan daripada QSR Brands (M) Berhad sebanyak RM46,389 dan KFC Holdings (Malaysia) Berhad berjumlah RM39,962 kepada Pegawai Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Ustaz Nazli Ngah.