Halaman

04 November 2011

YPM terima peruntukan RM799 juta

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menerima peruntukan sebanyak RM799 juta di bawah Dana Pendidikan Teknikal Jepun (DPTJ) tahun ini.

Pengerusi YPM, Datuk Wira Rosli Mat Hassan berkata, dengan peruntukan baru ini YPM akan membuat pengambilan antara 80 hingga 100 orang pelajar baru setiap tahun.

“Setakat ini seramai 350 pelajar di bawah tajaan YPM yang sedang membuat PhD dan Ijazah di Universiti Jepun,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis Graduasi Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu (SMSKT) semalam.

Hadir sama Pengetua SMSKT, Haji Hassan Awang Mat dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru, Haji Mohd Omar Abdul Rahman serta 136 pelajar Tingkatan Lima yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung bulan ini.

Menurut Datuk Wira Rosli, mulai tahun ini program Dana Pinjaman Pengajian Tinggi YPM iaitu gabungan dana Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jepun akan dikenali sebagai Dana Pendidikan Tinggi Jepun (DPTJ).

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah bersetuju menjadikan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di Beranang, Selangor sebagai Pusat Pendidikan Teknikal Jepun (PPTJ).

Katanya, pelajar yang terpilih mengikuti pengajian di Jepun akan belajar selama tiga tahun di PPTJ sebelum menyambung pengajian selama dua tahun di Universiti Jepun untuk membuat Ijazah.

“YPM akan menyalurkan biasiswa berjumlah RM450,000 kepada setiap pelajar sehingga tamat pengajian mereka,” katanya.

Menurutnya, modul yang diperkenalkan di PPTJ diiktiraf oleh semua Universiti Teknikal yang terdapat di negara matahari terbit itu dan pelajar YPM dan Mara tidak menghadapi masalah perhubungan dengan pihak pengurusan di sana.